top of page

NEWS AND UPDATES

Unimas-research-grant 2018_edited.jpg

DUA PENSYARAH TERIMA GERAN PENYELIDIKAN

June 14, 2019

KOTA SAMARAHAN: Dua pensyarah dari universiti tempatan berjaya mendapat geran penyelidikan insentif Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) kitar 1-2018 berjumlah RM10,000 semalam. Ahli jawatankuasa YPOMNM memilih dua pemenang geran iaitu Mohd Aizuddin Mohd Lazaldin dari UiTM Sungai Buloh dan Prof. Anselm Su Ting dari Unimas, masing-masing mendapat geran sebanyak RM5,000. Prof. Anselm dipilih atas kejayaan penyelidikannya bertajuk Determining Instruments for Fatigue Identification in Attempts to Prevent Occupational Accidents and Injuries.
Manakala Mohd Aizuddin membawa tajuk Brain derived Neurotrophic Factor Attenuates Amyloid Beta 1-40 Induced Visual Impairment In Sprague Dawley Rats. YPOMNM menyediakan bantuan perkhidmatan dan kewangan bagi para penyelidik yang aktif dan yang berminat menjalankan penyelidikan berkaitan otak, minda dan neurosains. Bantuan dana dan sumbangan juga turut diberikan kepada penyelidik yang terpilih. Terdahulu, geran penyelidikan tersebut ditawarkan secara terbuka kepada penyelidik di institusi pengajian tinggi, pusat atau agensi awam atau swasta yang berminat melaksanakan penyelidikan melibatkan bidang neurosains iaitu bidang neurosains asas, neurosains klinikal, dan neurosains gunaan yang bersesuaian berpandukan kepada keadaan semasa di negara ini. Geran ini dibuka setiap hujung tahun dan akan mula membuat pengumuman pemenang geran sekitar Mac. Selain itu, yayasan juga mahu mewujudkan banyak kemudahan kepada para penyelidik makmal dan pusat penyelidikan klinikal dengan kelulusan undang-undang yang berkuatkuasa. YPOMNM telah ditubuhkan pada tahun 2017 dan merupakan salah satu inisiatif pengasas iaitu Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Profesor Madya Dr. Durriyyah Sharifah Hasan Adli dalam merealisasikan impian agar rakyat Malaysia lebih mengambil perhatian mengenai bidang itu.

Geran 2019.jpg

DUA PENYELIDIK TERIMA GERAN PENYELIDIKAN

3rd December 2020

Georgetown: Dua penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Malaya (UM) dipilih sebagai penerima Geran Insentif daripada Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) Kitar 1-2019. Penyelidik terbabit, Dr Mohd Nor Azmi Ab Patar dari UiTM dan Dr Sim Maw dari UM, masing-masing menerima geran sebanyak RM5,000. Pengasas YPOMNM, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, kedua-dua penyelidik berkenaan dipilih mengikut kriteria utama pemilihan iaitu menjalankan penyelidikan membabitkan bidang neurosains, sama ada bidang neurosains asas, klinikal atau gunaan. Katanya, Mohd Nor Azmi menerusi kajiannya bertajuk 'Bio-inspired algorithm for automatic behavioral characterization of spinal injured rats' akan mempertingkatkan kualiti penyelidikan dan analisis ke atas data jenis biologi di Malaysia. "Algoritma yang baru dihasilkan akan mendorong kerjasama antara makmal biomekanik serta makmal berasaskan biologi. "Sementara, Sim menerusi kajiannya 'Influence of dopaminergic system gene polymorphisms on Amphetamine-Type Stimulants (ATS) abuse and dependence in the multi-ethnic Malaysian population' pula akan mengesan dan menentukan pelbagai polimorfisme genetik (SNP) dalam gen sistem dopaminergik. "Ia dikaitkan dengan kebergantungan ke atas dadah perangsang jenis amfetamina (ATS) dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di sini. Mengulas lanjut Jafri Malin berkata, geran yang penyertaannya terbuka kepada semua penyelidik dari institusi pendidikan tinggi, pusat, agensi awam dan swasta di negara ini adalah sebahagian daripada usaha YPOMNM bagi melahirkan penyelidik bertaraf antarabangsa dalam penyelidikan otak, minda dan neurosains. Katanya, selain komited bagi mencari dana, YPOMNM turut menyediakan bantuan perkhidmatan dan kewangan kepada pengkaji yang berminat untuk menjalankan sebarang penyelidikan berkaitan otak dan neurosains. "YPOMNM juga berhasrat mewujudkan pelbagai kemudahan kepada pengkaji di makmal dan pusat penyelidikan klinikal dengan kelulusan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPOMNM.
YPOMNM turut diasaskan bersama Prof Madya Dr Durriyyah Sharifah Hasan Adli dari UM bagi merealisasikan impian, memberi kesedaran serta menghargai kepentingan bidang penyelidikan otak, minda dan neurosains. Ia juga berperanan dalam menjadikan penyelidikan otak, minda dan neurosains di Malaysia sebagai suatu penyelidikan yang berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh golongan penyelidik. "YPOMNM mengalu-alukan individu, badan korporat atau syarikat yang ingin menderma bagi membantu usaha memajukan bidang neurosains di Malaysia," katanya

Mock cheque 2020.jpg
bottom of page